News

 

Perubahan Nama Dewan Undangan Sarawak Selari Status Sarawak Sebagai Wilayah

Posted on 23 Apr 2024
Source of News: UKAS
SELASA, 23 APRIL 2024


KUCHING: Perubahan nama Dewan Undangan Negeri Sarawak kepada Dewan Undangan Sarawak adalah bertepatan kerana Sarawak telah diiktiraf sebagai sebuah wilayah.
 
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perubahan tersebut selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pengiktirafan Sarawak sebagai wilayah sebelum ini.
 
“Jadi bertepatanlah untuk kita sebut Dewan Undangan Sarawak, bukan Dewan Undangan Negeri.
 
“Ini selari, bertepatan sekali dengan MA63 kerana kita merupakan wilayah, bukan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Jom Baca Bersama 10 Minit di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya pada Selasa.
 
Mengulas mengenai komen Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr. Sim Kui Hian di laman sosial Facebook baru-baru ini, Datuk Sharifah Hasidah berkata, inilah masanya untuk semua penduduk Sarawak menyokong perubahan kecil namun signifikan ini.
 
Tambahnya, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengiktiraf status Sarawak sebagai wilayah.
 
“Marilah kita menjadi konsisten dan bermula dengan kita (penduduk Sarawak) tidak memanggil Sarawak sebagai ‘negeri’.
 
“Jadi (istilah yang tepat) adalah kerajaan Sarawak, bukannya kerajaan negeri Sarawak,” katanya. - EDISI UKAS